KUALA LUMPUR, 13 MAC2012: Meskipun sudah melakonkan dua buah filem terbitan Metrowealth (MIG), namun pendatang baru, Shima Anuar, 21, terpaksa akur dirinya masih belum dikenali ramai.
Semuanya gara-gara kedua-dua filem lakonannya itu tidak mempamerkan wajahnya dengan jelas kerana menerusi filem pertama yang dilakonkannya dalam Sumpahan Kum Kum hanya memperlihatkan sebahagian wajahnya, manakala filem 7 Petala Cinta pula, kemunculannya berpurdah.
Namun Shima Anuar berkata, dia tidak ambil pusing mengenai perkara itu kerana apa yang penting baginya penonton dapat mengenalinya menerusi bakatnya.
"Alhamdulilah, walaupun saya ini pendatang baru tetapi MIG sudah memberi kepercyaan kepada saya untuk membawa watak utama dalam dua buah filem mereka.
"Saya sedar filem pertama wajah saya kurang dikenali kerana saya berselendang dan wajah saya di solek sebahagiannya menjadi buruk.Kemudian untuk filem 7 Petala Cinta yang akan keluar ini pula, wajah saya ditutup dengan kain purdah.
"Meskipun wajah saya kurang menonjol pada kedua-dua filem berkenaan, namun saya percaya penonton sekarang boleh menilai seorang pelakon itu bukan kerana rupa tetapi bakat lakonannya.
"Saya akan buktikan yang bakat lakonan saya akan membuat penonton mahu tercari-cari siapa diri saya sebenarnya," katanya ketika prebiu filem 7 Petala Cinta di MBO Subang Parade, malam tadi.
Shima Anuar mula menjadi artis di bawah naungan MIG sejak November 2010 dan mula muncul sebagai pelakon dalam drama Klik di Astro Ceria.
Selain Shima Anuar, 7 Petala Cinta yang bakal menjengah pawagam pada 15 Mac ini turut dibintangi oleh Aeril Zafrel sebagai pemegang watak utama, selain Fizo Omar dan Diana Amir sebagai watak sokongan.
Mengulas lanjut mengenai wataknya dalam filem 7 Petala Cinta bergenre romantik Islamik itu, Shima Anuar berkata, berlakon dengan memakai purdah amat mencabar kredibiliti lakonannya.
"Mula-mula agak sukar juga hendak membiasakan diri untuk bertudung litup serta berpurdah dari mula hingga akhir penggambaran, namun lama-kelamaan saya mula selesa.
"Cuma cabarannya sangat tinggi untuk berlakon dengan berpurdah dan hanya menampakkan mata sahaja kerana apa jua reaksi terpaksa diluahkan daripada raut mata saya sahaja.
"Bukan mudah untuk saya luahkan rasa gembira dan sedih hanya melalui mata, tetapi pengarah Azahari Zain menyakinkan saya serta banyak membantu," luah bekas penuntut jurusan Seni Lakonan Teater, Universiti Teknologi Mara ini.
Biodata Shima Anuar :-
Nama Penuh : Noor Hashimah bte Anuar
Tarikh Lahir : 8 April 1991
Keluarga : Anak keempat daripada 6 beradik
Kerjaya : Pelakon
Graduan : Jurusan Seni Lakon, UiTM Puncak Perdana
Filem : Hantu Kum-Kum, Bini-biniku Gangster, Flat 3A, 7 Petala cinta
Drama : Klik (ASTRO), Ku Sangka 2 Rupanya 3 (RTM), Impian Raya Emelyn (TV9)